Peraturan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang, yang dikuatkuasakan pada 1 Januari 2009, sehingga kini masih menerima banyak kritikan dan komen dari pengguna-pengguna kenderaan sejak peraturan tersebut diperkenalkan. Pada pendapat saya, pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang adalah sesuatu yang efektif dan dapat mengurangkan impak kematian sebanyak 50% jika terdapat apa-apa kemalangan. Pada masa yang sama, ia juga dapat menyelamatkan 40-50% nyawa penumpang di bahagian hadapan (kerana pada kelajuan 50 km/j penumpang belakang seberat 60 kg boleh menghentam tempat duduk hadapan dengan kesan impak 40 kali ganda iaitu sebanyak 2.4 tan). Jadi mengapa masih terdapat kritikan dan kutukan terhadap peraturan yang dapat mengurangkan risiko kecederaan dan mencegah kematian ini? Adakah kerana maklumat berkenaan dengan peraturan baru ini tidak mencukupi dan oleh demikian pelbagai persoalan dibangkit? Saya sering mendengar dan meneliti perbualan mengenai peraturan baru ini dan saya dapat merumuskan bahawa ketidakpuasan hati pengguna-pengguna kenderaan tertumpu khususnya kepada isu-isu berikut:
Isu 1
Peraturan tersebut diperkenalkan bagi sesuatu pihak yang ingin mengaut keuntungan yang mengenakan caj yang tinggi bagi pemasangan tali pinggang di bahagian tempat duduk belakang.
Saya tidak pasti samada perkara ini benar atau tidak tetapi memandangkan 81% kenderaan di Malaysia kini sudah pun mempunyai tali pinggang di bahagian tempat duduk belakang, apa-apa keuntungan yang boleh diperolehi mana-mana pihak (jika benar-benar ada) adalah dari hanya 19% kenderaan. Harus juga mengambilkira bahawa dari 19% kenderaan tersebut, tiga syarikat pengeluar jenama Honda, Proton dan Perodua akan memberikan perkhidmatan pemasangan tali pinggang keledar belakang secara percuma bagi kenderaan jenama masing-masing. Oleh demikian, saya berpendapat tidak munasabah bagi kerajaan untuk mewujudkan peraturan tersebut semata-mata bagi menguntungkan sesetengah pihak.
Isu 2
Bagi pengguna-pengguna kenderaan yang perlu menempatkan lebih dari tiga orang penumpang di bahagian tempat duduk belakang, bagaimana dengan penumpang-penumpang lebihan tersebut?
Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia mendapati bahawa hanya 5%-9% pengguna kenderaan membawa penumpang melebihi tiga orang di tempat duduk belakang. Sekiranya bilangan penumpang melebihi bilangan tali pinggang tempat duduk belakang, kesemua tali pinggang keledar tersebut harus digunakan. Menurut Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Kerja Raya (JKJR) (5 Disember 2008), penumpang keempat di bahagian belakang kederaan persendirian yang gagal mematuhi arahan memakai tali pinggang keledar tidak akan didenda.
Isu 3
Adalah tidak praktikal bagi penumpang-penumpang kenderaan komersil seperti teksi, kereta sewa, bas dan lori, untuk diwajibkan memakai tali pinggang tempat duduk belakang.
Peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang dikecualikan bagi kederaan komersil. Peraturan tersebut juga tidak dikenakan terhadap kenderaan yang mempunyai lebih dari 8 tempat duduk (tidak termasuk tempat duduk pemandu) dan kenderaan barangan yang mempunyai had muatan melebihi 3.5 tan.
Isu 4
Bagaimana kedudukan penumpang-penumpang kenderaan lama yang langsung tidak dilengkapi tali pinggang keledar tempat duduk belakang?
Peraturan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang tidak akan berkuatkuasa ke atas kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Januari 1995 dan juga tidak akan berkuatkuasa ke atas kenderaan yang tidak dilengkapi dengan anchorage points (tempat berlabuh tali pinggang keledar).
Bagi kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Januari 1995 dan mempunyai anchorage points tetapi tidak dipasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang, pemilik kederaan tersebut diberi tempoh 3 tahun (bermula dari 1 Januari 2009) untuk memasang tali pinggang keledar tempat duduk belakang.
Isu 5
Bagi mereka yang mempunyai anak, adalah tidak praktikal bagi mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar bagi kanak-kanak dan bayi.
Menurut JKJR, pemakaian dan penggunaan tali keledar bagi kanak-kanak dan bayi masih tidak diwajibkan. Walaupun begitu, saya berpendapat bahawa pemakaian dan penggunaan tali keledar bersama kerusi atau jenis tempat duduk keselamatan kereta bagi kanak-kanak dan bayi adalah amat digalakkan.
Isu 6
Kenapa negara-negara lain tidak mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang?
Sebenarnya, sebelum Malaysia, negara-negara lain telah pun memperkenalkan undang-undang bagi mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang: Amerika Syarikat (1966), Jerman (1984), Sweden (1986), New Zealand (1989), Peranchis (1990), United Kingdom (1989 & 1991), Belanda (1992), Kesatuan Eropah (1993), Hungary (1993), Hong Kong (1996) dan Jepun (2008).
Isu 7
Sebelum ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai peraturan untuk mengelakkan kemalangan jalan raya, tapi kemalangan tetap berlaku. Adakah dengan kewujudan peraturan tersebut, kemalangan akan berkurangan?
Kita harus menerima hakikat bahawa kemalangan di Malaysia akan terus berlaku selagi mentaliti dan sikap pengguna-pengguna jalan raya di negara ini tidak berubah. Sejak beberapa tahun ini, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai peraturan, operasi penguatkuasaan serta kempen dalam usaha untuk mengubah mentaliti dan sikap para pengguna jalan raya Malaysia. Namun begitu, tidak banyak perubahan berlaku – jumlah kemalangan masih tidak dapat dikurangkan. Pada pendapat saya, peraturan baru tersebut tidak diniatkan untuk mengurangkan kemalangan tetapi bertujuan untuk mengurangkan kesan dari kemalangan, iaitu jumlah kecederaan dan kematian. Oleh demikian, memang benar peraturan tersebut tidak dapat menjanjikan pengurangan dalam jumlah kemalangan tetapi berdasarkan perangkaan yang dibuat, peraturan tersebut mampu mengurangkan kecederaan terhadap pengguna kenderaan dan mengelakkan kematian (berdasarkan statistik bagi tahun 2007, penggunaan tali pinggang keledar belakang oleh semua penumpang kenderaan persendirian berupaya menyelamatkan 175 kematian, 350 kes cedera parah dan 1050 kes cedera ringan).
Isu 8
Kenapa pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang perlu diadakan peraturan dan bukan sekadar saranan?
Pada pendapat saya, jika dibuat sekadar saranan tanpa apa-apa penguatkuasaan dari segi undang-undang, kebanyakan rakyat Malaysia tidak akan mempraktikkan langsung saranan tersebut. Hanya dengan menetapkan suatu peraturan yang mempunyai kesan undang-undang, akan pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang tersebut dipatuhi.
Secara keseluruhannya, saya bersetuju bahawa peraturan baru ini membebankan pengguna-pengguna kenderaan – saya sendiri mengalami kesukaran dalam mematuhi peraturan baru ini, lagi-lagi apabila terdapat tiga orang dewasa di tempat duduk belakang. Persoalannya, adakah bebanan tersebut berbaloi jika dibandingkan dengan nyawa dan keselamatan diri, keluarga serta rakan?
"... Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya."
~ Surah Al-Baqarah: Ayat 195 ~
No comments :
Post a Comment